Friday 27 April 2012

Wujudkah Lagi Politik Mahasiswa yang Matang?

Politik mahasiswa yang matang perlu dijiwai dan dirasai dalam diri setiap mereka yang bergelar mahasiswa. Bagaimana perlunya mendapatkan politik mahasiswa peringkat matang ini? Seringkali melontarkan pertanyaan kepada diri sendiri, apakah politik mahasiswa itu matang dengan mendapatkan khidmat nasihat pensyarah yang faham akan politik? Atau apakah politik mahasiswa itu diiktiraf sebagai matang apabila mendapat bantuan dari ahli politik? Pertanyaan itu saya tinggalkan begitu sahaja kerana sehingga kini masih belum mendapat satu jawapan yang pasti. Namun, apa yang pasti saya ingin berkongsi akan karenah-karenah politik mahasiswa itu sendiri yang diiktiraf sebagai tidak matang.

             Penglibatan mahasiswa dalam kebanyakan demonstrasi yang berlau sejak kebelakangan ini mengundang pelbagai tomahan dan kritikan daripada pelbagai pihak. menyingkap semula isu penurunan banting oleh aktivis mahasiswa Adam Adli, sejujurnya, diakui menurunkan banting wajah Perdana Menteri adalah suatu tindakan yang tidak bermoral namun serangan-serangan dari masyarakat awam terhadap tindakan Adam Adli itu amat wajar untuk dipersoalkan kematangannya. Begitu juga dengan demonstrasi mahasiswa di UPSI pada awal tahun baru lepas. Kumpulan mahasiswa ini bertujuan untuk memberi simbolik akan kebangkitan mereka namun dikasari oleh pihak polis sehingga berlakunya tragedi berdarah!


                 Merujuk kepada demonstrasi tersebut, bagi mereka yang menyukai keamanan, mereka akan menyokong tindakan pihak polis dan menyalahkan kumpulan mahasiswa akibat kekerasan yang dilakukan. Bagi yang berjiwa pro-mahasiswa pula, mereka akan menyokong kumpulan mahasiswa ini dan menyalahkan serangan dan kecaman yang dilakukan oleh pihak polis sehingga terjadinya persitiwa berdarah. Politik mahasiswa ini diiktiraf sebagai matang apabila berani membuat memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan turut berani bersolidariti untuk rakan-rakan yang dikenakan tindakan yang kurang munasabah seperti isu KUIN5. Namun politik mahasiswa ini menjadi kurang matang apabila mereka seolah-olah keliru dengan agenda tyang diatur oleh mereka sendiri. Kekeliruan ini menyebabkan kebangkitan mahasiswa dipandang sepi dan menjadikan politik mahasiswa itu tidak matang. 

               Kematangan ini diukur dari aspek sikap dan penerimaan terhadap politik di peringkat nasional. Mereka seolah-olah taksub kepada parti yang disokong sehingga terbawa-bawa dalam memperjuangkan tuntutan mereka. Persitiwa tahun baru itu salah satu contohnya. Mereka mewar-warkan ingin bersolidariti sambil membawa sekuntum mawar putih namun hal yang sebaliknya berlaku apabila mereka membawa model keranda kecil dan gambar Perdana Menteri! Perbuatan ini tidak matang sama sekali dan menampakkan akan kekeliruan mereka dalam menuntut perjuangan yang ingin dibawa. Perbuatan yang sama juga sekali lagi berlaku semasa DEMO PTPTN pada 14 April yang lepas. Laungan-laungan yang kolot dan dua gambar Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi dikalungkan bunga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar sama sekali. 

             Sekiranya tuntutan yang dituntut oleh kumpulan mahasiswa ini tidak dicampur adukkan dengan politik peringkat nasional, kemungkinan besar tuntutan itu akan dipandang dan tidak menjadi sesuatu yang sulit. Analoginya seperti ini, sekiranya si anak meminta wang kepada si ibu dengan menggunakan ayat pujukan yang baik, sudah tentu si ibu dengan mudah memberikan wang kepada si anak. namun sekiranya si anak meminta wang dengan cara yang agak kasar, adakah si ibu sudi memberi? Sekiranya si ibu memberi, adakah si ibu memberi dengan mudah tanpa ada sebarang bebelan ataupun syarat? Sudah menjadi adat, meminta dengan cara yang lebih baik itu lebih bermakna berbanding meminta dengan kasar. Sekiranya lembut, sudah pasti tuntutan itu boleh difikirkan untuk diusulkan dalam kabinet. Sekiranya kasar, sudah tentu agak sukar.               

                  Perjuangan mahasiswa dalam menuntut hak mereka itu perlu namun dalam menuntut, jika tidak ada nilai menghormati dan mempunyai adab dan akhlak yang tinggi sudah tentu perjuangan itu menjadi sepi dan terus-menerus mendapat tomahan dari pelbagai pihak, justeru, sekiranya perjuangan itu ingin dilihat sebagai satu perjuangan yang berjiwa mahasiswa, terlalu banyak perkara yang perlu dibaiki. Walaupun begitu, perjuangan mahasiswa ini turut mendapat liputan dan sekurang-kurangnya membuka mata pelbagai pihak bahawa mahasiswa kini tidak lagi lesu. Apapun, artikel ini sekadar pandangan peribadi yang melihat situasi ini secara positif dan negatif.

 

~by Misa~

p/s: ditulis pada 18 April dan disiarkan di http://tmuum.blogspot.com/2012/04/wujudkah-lagi-politik-mahasiswa-matang.html pada 19 April.

No comments:

Post a Comment